Lampu pendarfluor atau
lampu kalimantang merupakan sejenis
lampu nyahcas gas yang menggunakan arus
elektrik untuk mengujakan
wap raksa. Wap raksa yang diujakan ini menghasilkan sinar
ultraungu gelombang pendek yang menyebabkan lapisan
fosforuntuk menghasilkan
cahaya tampak. Lampu penderfluor menukarkan tenaga elektrik kepada tenaga cahaya yang boleh dimanfaatkan lebih baik daripada
mentol lampu. Kos penggunaan tenaga yang rendah mengatasi kos awal lampu itu sendiri. Lampu ini lebih mahal daripada mentol lampu kerana ia memerlukan
balast elektrik untuk mengawal
arus elektrik di dalam lampu.
Sementara jenis tiub biasa banyak digunakan di bangunan komersial dan institusi,
lampu pendarfluor padat kini boleh didapati dalam saiz yang sama seperti mentol lampu sebagai alternatif penjimatan tenaga di rumah.
Prinsip operasi
Prinsip asas bagi penukaran tenaga elektrik kepada tenaga cahaya pada lampu pendarfluor bergantung kepada serakan tidak kenyal elektron. Elektron bebas bertembung dengan atom gas. Jika elektron bebas mempunyai cukup
tenaga kinetik, ia memindahkan tenaga ke elektron luar atom, menyebabkan elektron itu diujakan ke tahap tenaga yang lebih tinggi. Pertembungan tersebut adalah 'tidak kenyal' kerana sedikit kehilangan tenaga berlaku.
Keadaan tenaga tinggi ini tidak stabil, maka atom akan memancarkan
foton ultraungu semasa atom tersebut kembali ke tahap tenaga rendah yang lebih stabil. Kebanyakan foton yang dilepaskan daripada atom raksa mempunyai
panjang gelombang dalam lingkungan
ultraungu iaitu sekitar 253.7
nm dan 185 nm. Cahaya ini tidak dapat dilihat oleh mata manusia, oleh itu ia mesti ditukarkan kepada cahaya tampak. Ia dilakukan melalui penggunaan bahan
pendarfluor. Foton ultraungu diserap oleh atom bahan salutan pendarflour dalaman tiub lampu, menyebabkan lonjakan tenaga yang serupa, kemudian menjunam, dengan keluaran satu lagi jenis foton sekali lagi. Foton yang dibebaskan dalam interaksi kedua ini mempunyai tenaga yang kurang daripada interaksi pertama tadi. Bahan kimia fosfor yang digunakan dipilih supaya foton yang dibebaskan adalah pada panjang gelombang yang boleh dilihat dengan mata manusia. Perbezaan tenaga antara foton ultraungu yang diserap dengan foton cahaya tampak menyebabkan sedikit pemanasan pada lapisan fosfor.
Apabila lampu dihidupkan, kuasa elektrik memanaskan katod sehingga ia cukup panas untuk mengeluarkan elektron. Elektron ini bertembung dan mengionkan
gas adi di dalam tiub mengelilingi filamen untuk membentuk
plasma melalui proses pengionan impak. Hasilnya, tahap konduktiviti gas terion meningkat dengan pantas, membolehkan arus tinggi mengalir melalui lampu.